Kemelut Selatan Thai perlu rencana tersusun

Selesai Jumaat kelmarin lapan mahasiswa ditahan polis berikutan demonstrasi yang mereka adakan selepas solat Jumaat dan laman Mahasiswakini.com melaporkan bahawa kumpulan mahasiswa berkenaan membuat aksi itu di depan Kedutaan Thailand.

 Aksi itu dilakukan sebagai maklumbalas terhadap isu pembunuhan umat Melayu Muslim di Selatan Thai baru-baru ini di Kg Air Tempayan, Narathiwat pada 8 Jun lalu. Cara serangan itu dilakukan dengan begitu terlatih menyebabkan ramai pihak melihat bahawa tentera berkemungkinan melakukan keganasan tersebut.Menurut laporan laman itu, antara siswa yang turut ditahan ialah Shazni Munir Ithnin yang dikatakan terlibat dalam kes ‘anti-Rosmah’.

Daripada lapan siswa itu, antara lain yang turut ditahan ialah Mohd Shafie Hashim dan Lee Song Yong. Enam siswa dibawa ke Balai Polis Sentul manakala dua siswi lagi dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk soal siasat, demikian menurut laman tersebut.

Dipercayai suasana demonstrasi bermula aman tapi situasi tegang dicetuskan polis apabila menarik kasar seorang mahasiswa. Dua mahasiswi berkenaan ditangkap tanpa usul periksa semasa mereka sedang berehat setelah demonstrasi berkenaan bersurai.

Sebagai yang dijangka, pihak penguatkuasa ketika membuat tangkapan akan menggunakan alasan bahawa perhimpunan tersebut tidak memiliki permit.

Ketua penyiasat kes ASP Aziz memberitahu bahawa kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 27 Akta Polis kerana menyertai perhimpunan haram, laman itu menjelaskan.

Disusuli forum pada sebelah malamnya

Sebenarnya, acara mereka tidak hanya terhenti di situ. Pada sebelah malamnya, kumpulan mahasiswa itu bercadang untuk mengadakan Forum Kesedaran Isu Pembunuhan Muslim Selatan Thailand yang dijadualkan berlangsung di Masjid ar-Rahman Universiti Malaya.

“Berlangsung atau tidak forum itu, tak dapat dipastikan dengan sebab insiden ini,” isi kandungan laman itu dipetik.

Mahasiswa beri tempoh tiga hari

Demonstrasi yang bermula selepas solat Jumaat tadi disertai 200 mahasiswa daripada beberapa barisan mahasiswa seperti Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami).

Mahasiswakini melaporkan bahawa mereka menghantar memorandum kepada wakil konsulat kerajaan Thailand walaupun timbul keraguan kerana wakil konsulat yang menerima memorandum tersebut tidak mahu memperkenal diri.

Namun, ada riak dan nada serius di sebalik perhimpunan tersebut. Khasnya, ketika perkumpulan mahasiswa itu memberikan tempoh kepada pihak Kedutaan Thailand untuk menjelaskan situasi sebenar di sebalik peristiwa Kg Air Tempayan itu.

Jurucakap perkumpulan mahasiswa berkenaan, Mohd Idris berkata, mahasiswa beri tempoh tiga hari agar kerajaan Thailand dapat memberikan maklumbalas terhadap isu yang berlaku di wilayah berkenaan kira-kira sebulan yang lalu.

Hal ini bermaksud, pihak kedutaan perlu tampil memberikan penjelasan kepada perkumpulan mahasiswa tersebut pada Isnin depan. Namun, dengan keadaan mereka sendiri meragui wakil kedutaan yang menerima memorandum tersebut, adakah kedutaan dapat menunaikan permintaan mereka? Apakah memorandum tersebut benar-benar diteliti?

Demonstrasi dan forum kini seolah-olahnya telah menjadi tindakan biasa untuk menekan kedutaan. Yang paling utama kini, apakah sudah wujud suatu kumpulan pendesak yang bertugas membawa isu ini ke meja rundingan supaya selalu ada muhasabah untuk mengkaji di mana ruang kelemahan yang perlu diperbaiki dan di mana ruang kekuatan yang perlu diperteguhkan.

Hal ini juga yang sepatutnya turut diambil perhatian oleh kalangan lebih 200 mahasiswa yang prihatin terhadap masalah di Selatan Thai itu.

Seperti biasa, kita boleh juga mencatatkan betapa ramainya polis dan FRU bersama trak dan kereta peronda yang mengawal kawasan kedutaan berkenaan.

Tetapi, hal bersifat intelektual, mungkin usaha menubuhkan kumpulan mahasiswa universiti yang akan membuat penelitian terhadap perkembangan Selatan Thai dari semasa ke semasa adalah suatu yang penting.

Banyak maklumat yang kita kerap ketinggalan terhadap jejak-jejak tindakan sebelum ini, khasnya yang berkaitan dengan usaha-usaha memperbaiki masalah umat Melayu Muslim di Selatan Thai itu.

Misalnya, dengan tenaga mahasiswa, anak muda dan belia yang ramai ini, adakah boleh disusun usaha menemubual, membuat pungutan suara ke atas rakyat di wilayah bergolak itu, samada mereka bersedia untuk merdeka atau tidak daripada kuasa Thai dan lain-lain persoalan lagi.

Jika autonomi tak diberi, merdekalah jalan penyelesaiannya

Sementara itu, ada pendapat menyatakan bahawa autonomi untuk tiga wilayah bergolak di Selatan Thai dan pengagihan kuasa pusat kepada rakyat tempatan adalah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik yang berpanjangan di situ.

Seorang cendekiawan Thai dan penyokong keamanan Praves Wasi, dari Institut King Prajadhipok berkata struktur kuasa pada masa ini yang berpusat di Bangkok tidak sesuai untuk masyarakat majmuk seperti Thai.

Tambah beliau, punca sebenar yang menyebabkan konflik di situ berpanjangan ialah penggunaan satu struktur kuasa di negara itu.

“Perlu ada pentadbiran bersama melalui pengagihan kuasa pusat. Bukan hanya di tiga wilayah selatan itu, tetapi juga di wilayah lain kerana kita mempunyai masyarakat yang pelbagai dengan budaya, agama dan bahasa yang berbeza,” katanya.

Selain Praves Wasi itu, kita boleh meneliti kuasa-kuasa intelektual seorang ahli sejarah terkemuka, Charnvit Kasetsiri dari Universiti Thammasart, di Bangkok yang pernah membuat bantahan ke atas Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva dan beberapa jawatankuasa politik lainnya untuk menukar nama negara Thailand kepada nama asalnya; Siam.

Sebetulnya, pengaruh intelektual kalangan cendekiawan Thai sendiri mungkin sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam urusan menangani kemelut di Selatan Thai itu.

Pendekatan demonstrasi, forum dan bengkel ini boleh diterus dan kita perlu pelbagaikan rundingan, pertemuan dengan kalangan tokoh-tokoh cendekiawan Thai sendiri berhubung hal ini.

Sekali lagi, di atas bahu anak-anak muda, belia dan mahasiswa inilah terletaknya beberapa harapan besar ketika sejuta masalah yang terbelenggu di dada umat ini gagal diselesaikan melalui jalan politik dan politikus yang tidak jujur.

Jadikanlah ujian ditahan polis baru-baru ini sebagai suatu langkah permulaan untuk menyusun batu-bata perjuangan pada mada hadapan. _

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: